Sabtu, 3 Januari 2009

Kata Alu-aluan





Alhamdulillah, bersyukur kerana diberi kekuatan oleh Allah S.W.T dalam usaha menyiapkan garis panduan pengurusan dan organisasi serta arah tuju sistem pendidikan sekolah ini. Dengan kata lain kita telahpun berjaya memulakan asas agenda kerja kita melalui platform permaufakatan atau “interdependence” untuk kita hayati dan laksanakan.

Komitmen dan kerjasama yang jitu daripada semua pihak termasuk PIBG amatlah diperlukan demi kecemerlangan anak didik kita.

Justeru menyedari bahawa matlamat akhir organisasi ialah kesejahteraan dan kecemerlangan warga pelanggan meliputi kecemerlangan pelajar, ibubapa dan masyarakat. Konsep ini tidak datang dengan mudah melainkan datang dari warga guru yang cemerlang yang mampu mecemerlangkan organisasi sekolah. Maka kita harus proaktif, keras semangat, tidak mudah mengaku kalah atau tersungkur di pertengahan jalan.

Setiap kerja buat yang hendak kita laksanakan tidak boleh tidak memerlukan pengorbanan yang ikhlas berteraskan upah yang kita terima. Oleh sebab itu saya melihat kerajinan dan ketekunan sahaja mampu merealisasikan hasilan pelbagai idea yang boleh menghasilkan tindakan dan perlaksanaan yang lebih berkualiti. Setiap hasil yang kita dapat, semua pihak akan merasai satu nikmat dan kepuasan yang berganda.

Saya sangat bimbang insan yang kita bentuk dan kita bina, akhirnya dipertikaikan oleh kita sendiri dan masyarakat umum. Kita sudah banyak dapat lihat remaja yang di anggap kurang ‘antibody’ tidak mampu menjelmakan diri dalam arus perubahan globalisasi yang membawa banyak kemusnahan, fitnah dan kedangkalan. Tidak boleh tidak kita juga diperhitungkan oleh Allah S.W sebagai sedikit faktor diakhirat kelak.

Akhirnya, marilah kita sama-sama mendokong cita-cita dan harapan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah memperkasakan jasmani, emosi, rohani dan intelek untuk anak didik kita di SKPB.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan dan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau sebaliknya dalam usaha menuju kecemerlangan SK Payong Baru. Semoga buku ini dijadikan “garis pandu” untuk kita merealisasikan pendidikan di sekolah ini.


Wassalam,

Guru Besar.
Sekolah Kebangsaan Payong Baru,
21500 Setiu, Terengganu.